Friday, July 18, 2014

Mana Aku Ingat?(Rumusan)

Assalammualaikum
     Panjang pulak cerita aku kali ni kan? Siap ada dua part lagi.Anggap la cerita ni seolah-olah anda membeli bumper Ujang mahupun Apo?.Tapi yang ni tak kena bayar la.Hiburan di bulan puasa la kot. Fakta yang lagi bes,kedua-dua part ni jarak masa dia sampai setahun. Tapi apa-apa pun kita layan ja la.
      Cerita aku sebelum ni aku cuba nak sampaikan tentang memori. Penciptaan sesuatu maklumat yang dinamakan memori ni antara perlu kagumi sebagai seorang hamba kepada Tuhannya. Sememangnya maklumat yang dikatakan ‘memori’ itu wujud,tetapi masih tidak diketahui secara tepat oleh para saintis di mana kedudukan ‘memori’ ini di dalam otak.Tetapi yang wujud hanya teori  bagaimana memori itu wujud.
     ‘Memori’ boleh dibahagikan kepada dua jenis.Memori untuk jangka pendek dan memori untuk jangka panjang.Memori untuk jangka pendek ini kebiasaannya melibatkan perubahan pada ‘neuronal transmission’ dari satu neuron ke satu neuron yang lain berbanding memori untuk jangka panjang melibatkan perubahan struktur pada neuron itu sendiri.Jadi,tidak hairanlah jika ada sesetengah perkara dapat kita ingat pada jangka masa yang panjang dan sebahagiannya hanya untuk jangka masa yang pendek.
     Lebih menarik,memori yang banyak ini tidak dibiarkan begitu sahaja.Ia dikawal oleh salah satu bahagian otak yang bertindak seperti rak-rak buku di sebuah perpustakaan. Maka memudahkan kita untuk “retrieve” semula memori atau maklumat-maklumat lama tentang sesuatu perkara.Jika bahagian ini bermasalah,maka kita akan sukar untuk mengingat semula sesuatu perkara dengan  baik.
      Terdapat satu perkara yang menarik tentang memori ialah wujudnya istilah yang disebut procedural memory.Procedural memory adalah memori yang wujud hasil daripada perkara  yang kita lakukan selalu. Sebagai contoh, seorang pemuzik professional mampu untuk memainkan suatu alunan muzik hanya dengan melihat pada not-not muzik di hadapannya.Hal ini kerana dia sudah terlalu biasa dengan not-not tersebut melalui latihan yang berterusan.Dan memori seperti ini kebiasaannya sukar untuk hilang secara total dari seseorang.Jika melalui jangka masa yang lama sekalipun,hanya memerlukan masa yang sedikit untuk di ‘recall’  semula.
     Ciptaan Allah yang Maha Agung perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya kerana itulah cara kita mensyukuri nikmat yang dikurnia.


Wassalam.

Mana Aku Ingat?(2)

Jun 2013
     Bagasi yang sederhana besar itu aku tarik keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Seperti rutin tahun-tahun sebelumnya,apabila keluar dari lapangan terbang, aku akan hirup udara di luar sedalam-dalamnya. Ambil angin “Malaysia”  mungkin. Antara benda yang aku rindu dengan Malaysia ialah udara yang berbau rumput itu.Entah la. Mungkin pelik tapi itulah aku. Tambah pula,hari itu hujan renyai-renyai.Maka lebih kuatlah bau itu. Bau ini memang susah untuk aku dapati di Jordan,bumi aku belajar sekarang.Oh, ya! Aku sekarang sudah bergelar pelajar tahun ketiga jurusan perubatan.Dan aku pulang hari ini selepas selesai semester kedua sebelum pulang semula ke Jordan untuk menyambung semester musim panas pada tahun yang sama.
      Aku menjenguk-jenguk ke arah tempat letak kereta yang betul-betul berada di hadapan lapangan terbang. Dengan harapan, mungkin kelihatan ahli keluarga aku sedang berjalan ke arahku. Tapi kelihatan sunyi sahaja. Rakan-rakan yang lain yang bersamaku sudah lama pulang bersama keluarga masing-masing. Risau. Kebiasaannya, mereka sudah sampai terlebih awal di balai ketibaan untuk menyambutku.Lagipun, aku sudah menelefon ketika di KLIA tentang anggaran masa aku akan tiba di situ.
      “Jalan jammed kot,”aku berbicara sendirian sambil mengeluarkan mp3 bersama headset biru berjenama JVC keluar dari beg.
      Folder MALAY aku pilih untuk dimainkan.Bak kata orang ambil feeling Malaysia. Lagipun jarang-jarang sangat aku dengar lagu melayu. Selalunya,kalau lagu melayu yang selalu dimainkan di telinga, maka tak dapatlah aku tumpukan perhatian untuk belajar.Mana tidaknya,apabila lagu dimainkan,aku turut sama menyanyi untuk bersaing dengan artis rakaman tersebut. Pelik tapi benar.
      Kereta Toyota Unser Silver kelihatan meluncur laju di hadapanku. Di dalamnya kelihatan susuk tubuh yang aku kenali. Kereta itu berhenti ke hadapan lebih jauh dari kedudukan aku sekarang. Aku baca nombor pendaftaran kenderaan. Sah.Memang itu memang kereta ayahku. Ayahku keluar dari kereta sambil menjenguk-jenguk mencari aku mungkin.Aku pula terkial-kial mematikan mp3 yang sedang menghiburkan aku buat seketika tadi.Headset yang berada telinga tadi aku gantungkan di leher sambil bagasi itu aku tarik kearah ayahku. Gerak langkahku itu disambut dengan senyuman ayahku.Tangannya aku capai dan tubuhnya kupeluk.Dan seperti biasa, diakhiri dengan usapan kepala dari ayahku. Bagasi yang ku tarik tadi aku angkat ke dalam perut kereta yang sedia dibuka oleh adikku yang turut sama ikut menjemputku. Selesai semuanya,kereta famili itu terus ayahku pandu keluar dari kawasan lapangan terbang.
      Kenderaan itu mula memasuki kawasan perindustrian sekitar Bayan Lepas sebelum melalui Jambatan Pulau Pinang. Aku pula asyik memandang persekitaran.Melihat jika ada sebarang perubahan walaupun hanya meninggalkan tempat itu baru setahun lalu.Keadaan jalanraya yang lengang itu melancarkan perjalanan kami ke arah satu-satunya jambatan yang menghubungkan tanah besar dan Pulau Pinang itu.
      “Dah lama sampai tadi?” tanya ayahku sambil mematikan radio yang terpasang sejak 20 minit tadi.
      “Eh,tak la. Baru ja,”jawabku ringkas.Masih kekok mungkin sebab sudah lama tidak bersua muka.
       “Tu la.Kereta City tadi buat hal.Tak boleh start pulak. Lama jugak tadi tersangkut kat rumah. Last-last naik la kereta ni. Tu pun seriau jugak,takut-takut kereta ni habis bateri sebab lama tak bawak,” cerita ayahku. Cerita itu menyelesaikan persoalan dalam fikiranku sejak tadi kerana kebiasaannya kereta ni hanya digunakan jika kami sekeluarga akan ke mana-mana.Jarang digunakan untuk jika hanya dua tiga orang sahaja yang akan ke suatu tempat apatah lagi ke tempat yang dekat.
      “Along tolong tengokkan esok kereta tu.Heran jugak tiba-tiba ja buat hal,”ayahku mula mencadang. Cadangan itu membuatkan aku menelan air liur. Mana tidaknya, sudah lama rasanya tangan aku ni ‘bersih’. Bak kata orang ‘dah gantung sepana’.Kalau dulu minyak enjin dan minyak gear tu dah macam sanitizer kat hospital. Sekarang ni, but depan kereta pun aku dah lama tak hadap.
      “Ish,abah,tak payah la kot. Along dah lama tinggal dah GIAT. Ingat-ingat lupa ja rasanya ni.Tambah pula,kereta Honda Along tak biasa buat,”kataku cuba mengelak.
      “Alah,abah bukan suruh along buat pun.Suruh along tengokkan ja. Abah saja nak dapat idea apa yang rosak,”ayahku cuba memujuk.

      “Hmm.Ok la.Tapi along tak janji la boleh cari punca dia sebab along pun tak berapa ingat sangat,”kataku akur.
*****************************************************************
      Pagi itu mendung sedikit.Kelihatan seperti sang mentari malu-malu untuk keluar menerangi pagi itu. Bunyi burung-burung yang berkicau cukup menjadi hiburan pada pagi itu.Aku pula baru saja selesai menjamah sarapan pagi.Hidangannya ringkas. Secawan Nescafe dan sepinggan nasi goreng kicap masakan ibu. Sedang aku duduk-duduk di ruang tamu, aku terdengar segugus kunci diambil dari tempat letak kunci. Bunyi itu menandakan aku perlu bersedia dengan tugasan pertama setelah tiba di rumah aku semalam.
      “Jom,”ajak ayahku ringkas.
      Kereta Honda City yang berada di dalam garaj itu diundurkan ke belakang tanpa dihidupkan.But hadapan dibuka.
      “Try start tengok,abah,”arahku.
      Kereta berwarna merah hati itu cuba untuk dihidupkan beberapa kali.Masuk sahaja kali keempat baru kereta itu dapat dihidupkan.Tapi dari segi bunyi,memang aku rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta ini. Ini bukan sixth sense .Tetapi secara konsepnya,sebarang peralatan mekanikal,terutamanya kereta, jika mula mengeluarkan bunyi yang asing itu bermakna pasti ada kerosakan atau kesilapan di mana-mana.Ayahku yang tadi berada di tempat pemandu keluar mendapatkan aku yang berada di but hadapan kereta.
      “Macam mana?”tanya ayahku.
      “Entah la.Kereta pernah mati tengah-tengah jalan tak?”tanyaku cuba mendapatkan butir-butir yang perlu.
      “Tak pernah pun. Semalam la start jadi camni.”
      “Okay.Bukan alternator yang problem,”bisik aku sendiri.
      “Along rasa mungkin starter yang problem. Ataupun mungkin masalah kat distributor ngan high tension cable yang problem,”kataku cuba menerangkan berdasarkan ilmu aku yang tak seberapa ni.
      “Hmm.Abah rasa macam bukan problem kat starter,”ayahku cuba meneruskan perbincangan. Walaupun ayahku lebih pakar dalam bidang elektrik dan elektronik,namun asas ilmu mekanikal turut diperlukan dalam bidang itu.Maka pandangan ayahku sangat perlu dalam perkara ini.
       Sedang asyik berfikir sambil melihat khusyuk pada enjin kereta itu,tiba-tiba hatiku terdetik untuk melihat ekzos kereta itu.Aku bergerak sendiri ke arah belakang kereta. Aku lihat asap yang keluar daripadanya lebih hitam daripada biasa. Keadaan itu memberi tanda bahawa ada pembakaran yang kurang efisien pada bahagian enjin.
      “Abah, try tekan minyak tengok,”pinta aku.
      Bunyi deruman enjin mula kedengaran tetapi diikuti dengan bunyi dari ekzos seolah-olah menembak-nembak.Sah.Memang masalah pada bahagian ignition system .
      “Pernah tukar tak high tension cable ka,distributor ka sebelum ni?”tanya aku kepada ayahku.
      “Tak pernah.Kenapa?”
      “Along rasa problem kat situ la.”

      Selepas selesai perbincangan itu,ayahku terus memandu kereta itu ke bengkel yang berdekatan.Ternyata yang rosak adalah pada bahagian distributor enjin tersebut. Rasa dapat selesaikan masalah tersebut dan bersyukur sekurang-kurangnya ilmu yang aku belajar dulu tak hilang kesemuanya dibawa masa.

Saturday, July 5, 2014

Haa..Tu Boleh...

     "Sapa nak udang? Ni nak bagi ni," tanya Karim kepada ahli keluarganya yang berada di meja makan.
    
    “ Try la makan udang tu.Sedap.Rugi tak try makan.Udang tu la yang sedap,"kata Pak Samad ,ayah Karim, meyakinkan.

    Hari ini Mak Senah masak mee goreng basah.Tapi mee goreng ini sedikit istimewa kerana digoreng bersamanya beberapa ekor udang yang besar. Cukup menyelerakan. Tapi bagi Karim keadaan ini sedikit berbeza. Sikapnya yang tidak menyukai udang tanpa mencubanya walau sekali menjadikan kerjanya sebagai penjamah bertambah. Kali ini dia bernasib baik kerana udang-udang itu bersaiz besar.Jika tidak, mungkin setengah jam masanya dihabiskan untuk mengasingkan udang dari juadah itu.
    Mak Senah hairan melihat gelagat anaknya itu. Dia berfikir bagaimana cara untuk memperkenalkan rasa udang kepada anak tunggalnya itu. Mak Senah tidak kisah jika Karim tidak menyukai udang tetapi biarlah selepas merasanya. Setelah lama berfikir, barulah terlintas di fikirannya cara untuk memperkenalkan rasa udang itu.
     Petang hari itu seperti hari lain. Kedengaran suara kanak-kanak yang bermain di kawasan rumah yang  diselang- seli dengan bunyi kenderaaan yang lalu-lalang adalah suasana yang biasa untuk waktu petang di situ.
     “Shhh*tak tau nak buat bunyi camna*!!!”bunyi percikan minyak yang garang tanda masakan dimulakan.Hari ini terlintas di fikiran Mak Senah untuk memasak juadah minum petang. Juadah untuk kudapan petang ini disediakan berdasarkan bahan-bahan yang sudah ada di dapur. Makanan yang telah siap digoreng dimasukkan dalam penapis dan diletakkan di atas meja bersama air teh panas sudah siap terhidang.
     “Assalammualaikum. Mak, Karim dah balik,”kedengaran suara sayup-sayup dari ruang tamu. Suara itu membawa anak mata Mak Senah melihat kepada muka jam yang berada di dapur. Pukul 6.00 petang. Karim memasuki ruang dapur dalam keadaan butang atas tiga butang atas baju pengakap itu dibukakan dan baju itu dikeluarkan dari seluar. Sudah menjadi kebiasaan setiap hari Rabu, Karim akan ke sekolah untuk aktiviti kokurikulum.
      “Lewat pulak balik hari ni, Karim,”sapa  Mak Senah setelah melihat anaknya melabuhkan badan di atas kerusi meja makan rumah itu.
     “Hari ni cikgu ajar lebih dari minggu-minggu sebelum. Dia kata minggu depan dia nak test. 3 orang dapat point paling banyak dia nak hantar ke jambori apa entah,”jawab Karim sambil tangannya menghala ke arah telinga cawan teh di atas meja.
     “Sapa cikgu tu?”tanya Mak Senah.
     “Cikgu Selamat,”jawab Karim ringkas.
     “Oh,patutlah,”balas Mak Senah.
     Suasana di dapur senyap seketika. Hanya kedengaran bunyi Karim yang tekun mencicip teh yang panas dari cawan. Mak Senah pula sudah mula mengalihkan perkakas dapur yang sudah tidak digunakan ke dalam sinki untuk dibasuh selepas ini.
      “Mak masak cucur apa ni?Bau macam sedap ja,”Karim cuba menyambung perbualan.
      “Oh,ya ka? Try la rasa tengok. Ambik yang bawah-bawah sikit.Yang atas tu panas lagi,”kata Mak Senah kepada Karim sedikit tersenyum.
      Tangan Karim mencapai satu daripada cucur itu.Cucur itu dicicah ke dalam piring yang mempunyai sos.Kemudian, dimasukkan ke dalam mulutnya yang sudah bersedia menerima  juadah itu. Mak Senah melihat gelagat anak terunanya itu dalam keadaan tersenyum dan sedikit berdebar. Mungkin rasa tak sabar untuk menunggu respon dari Karim.
      “Camna?Sedap?”tanya Mak Senah setelah melihat anaknya itu menelan cucur yang dikunyah tadi.
      “Uih sedap ni.Isi apa mak bubuh dalam ni?”tanya Karim ingin tahu.
      “Tadi mak tengok ada udang lebih dalam peti sejuk tadi.Mak blender la masuk dalam cucur sekali,”kata Mak Senah tenang.
      Karim terhenti dari mengunyah.Mukanya bingung seraya berkata, “Mak!! Tak aci la buat Karim camni.”

      “Sedap kan? Kan  mak dah suruh try lama dah.Kan tengok sapa yang rugi,”kata Mak Senah sambil ketawa melihat keletah anaknya itu.

**********************************************************

Assalammualaikum...

      Dah lama rasanya tak menulis kat sini...Punya la tengok last post-nya bulan Julai tahun lepas...Dah dekat setahun dah...Punya lama tu kalau budak tu baru lahir time aku tulis post aku dulu,rasanya budak tu dah boleh berjalan.Bukan takmau update,tapi memandangkan mehnah dan tribulasi kehidupan ni *fulamak ayat* maka tak dapat la aku nak update blog aku ni. Aku terkejut jugak walaupun aku tak update,tapi bila check follower bertambah.Maka sebagai "fanservice" kena la update se-post dua,ye dak?*bajet artis*Anyway,aku minta maaf sangat, pasal cerita tergantung untuk post "Mana Aku Ingat?(1)".Aku dah tulis sebenarnya sambungan cerita tu,tapi sebab laptop aku rosak dan semuanya ada dalam tu,so aku kena la tulis balik kot.

      Ok,selesai merapu.Sebenarnya aku nak cerita pasal kehidupan kehidupan aku sebagai medical student in clinical phase ni.Tapi rasa elok la diutamakan cerita tentang Ramadan dulu.

      Kita dah pun melalui beberapa hari Ramadan. Diharapkan Ramadan sebelum ini dapat diisi dengan baik dan insyaAllah amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah.Bercakap tentang Ramadan ni,aku rasa aku dah tak mahu cakap pasal hikmah berpuasa sebab aku rasa aku dah tulis benda ni 3 tahun lepas.Jadi, untuk kali ni aku nak cakap pasal hikmah Ramadan la.

       Ramadhan ni merupakan satu nikmat yang besar dari Allah kepada manusia. Sebab apa?Sebab pada waktu inilah dikatakan syaitan dibelenggu,ada yang kata diikat dan sebagainya.Dalam Ramadan ni la yang dikatakan ada Lailatul Qadr dan banyak lagi kelebihan-kelebihan dalam bulan Ramadan yang aku tak mahu nak nyatakan semuanya.

       Pada satu sisi yang lain,aku nampak Ramadan sebagai satu bulan motivasi untuk umat manusia. Pada bulan Ramadan ni kita dapat tengok berapa orang yang boleh khatamkan Al-Quran?Berapa orang yang boleh pergi solat terawih di masjid ?Berapa orang juga yang sekurangnya boleh menahan lapar dari start subuh sampai la ke maghrib?

       Di sini, Allah cuba menunjukkan pada kita bahawa kita boleh ikut apa yang Allah suruh. Kita boleh sebenarnya melazimi bacaan Al-Quran.Kita boleh sebenarnya pergi ke masjid. Allah sedang menunjukkan kepada kita yang kita boleh melakukannya, tapi kenapa selepas Ramadhan kita tak mampu nak buat semua ni?

      Owh.Ada orang kata,waktu Ramadan takdak syaitan,boleh la buat semua tu.Lepas Ramadan ada syaitan,susah la nak buat, direct terbantut ja niat tu.Yes,memang tak dinafikan manusia memang diciptakan lemah.Mungkin kalau kita tak mampu nak buat sehebat amalan Ramadan kita, sekurangnya amalan tu tak la kita tinggal,kan? Rugi sebenarnya.Sebab seolah-olah,kita pada hakikatnya boleh buat tapi kita tak mahu buat.

       Ok la.Akhir sekali, jadikan la bulan Ramadan bulan untuk cuba buat sehabis baik dalam amalan kita supaya ia menjadi pemberi semangat kepada kita untuk terus beramal selepas Ramadan nanti .Mungkin tak sehebat Ramadan tapi berterusan.Bukankah sedikit tetapi berterusan itu lebih baik dari banyak tetapi bermusim?

      Macam tu la sikit apa yang aku boleh tulis dekat sini.Apa yang mungkin rasa tak betul dan sebagainya boleh la ditulis ruangan komen sebabnya aku pun bukan ahli dalam bidang ni dan masih belajar.Akhir kata,apa yang aku kongsikan ni bermanfaat..InsyaAllah.

       Wassalam.